Monday, January 18, 2010

Salam..kepada semua umat Islam. Selamat menyambut peperiksaan untuk pelajar-pelajar Al-Azhar di bumi Mesir ini. Usahalah, yang terbaik...anggaplah ujian ini sebagai kayu pengukur bagi kita agar tidak berada di takuk yang lama. Mungkin ada sebahagian sahabat yang masih tidak endah, dan ramai juga yang berasa tidak tenang,resah-gelisah dan gundah-gulana. Jadi, izinkanlah kiranya saya di sini ingin mengongsi pengalaman dan pandangan tentang musim imtihan di bumi mulia ini. Selama empat tahun saya di sini sudah banyaklah ragam yang menarik ditunjukkan oleh kawan-kawan.
Ada segelintir antara kita di sini yang jarang ke kuliah apatah lagi mahu membuka kitab-kitab. Kitab kuliah hanya di buka ketika musim imtihan. Semua kita maklum apakah natijahnya apabila tidak menghafal atau paling kurang membaca sahaja kitab-kitab kuliah. Kegagalan itu bukanlah impian kita di sini. Oleh kerana itulah mereka-mereka ini termasuk juga kita semua patut bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Al-Azhar kerana telah mengubah hidup kita. Maksud saya, walaupun si Borhan malas ke kuliah dan jarang membuka kitab-kitab, beliau masih beruntung kerana terpaksa menempuh imtihan dengan menghafal bersungguh-sungguh kitab-kitab kuliah. Dan ini berlaku selama sebulan lamanya. Betapa banyak ilmu yang beliau perolehi dalam fatrah tersebut, walaupun ia akan hilang tak lama lagi kerana hanya diniatkan untuk kecemerlangan imtihan semata-mata. Apatah lagi sebahagian kitab kuliah terdiri daripada kitab-kitab turath yang muktabar yang sering menjadi rujukan ulamak-ulamak, antaranya Hasyiah Qolyubi wa U'mairoh kepada matan Minhajut Tolibin, Hasyiah Imam Baijuri(Tuhfatul Murid) kepada matan Jauharah Tauhid, dan banyak lagi.
Jadi, imtihan di Al-Azhar ini betul-betul telah menolong sebahagian di antara kita, juga kepada kita semua. Bayangkan jika tiada imtihan. Apakah yang akan terjadi ? Sudah tentu sahaja sebahagian di antara kita pulang ke Malaysia dengan tangan kosong. Bukan maksud saya ilmu imtihanat itu sudah cukup untuk dibawa pulang, tetapi sekurang-kurangnya segelintir di antara kita yang malas ini terbela dirinya. Ilmu di Al-Azhar ini wajib kita gali setiap waktu selama mana kita bernafas di bumi ini.
Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah, saya mengajak diri saya sendiri dan sahabat-sahabat agar kita bertaqwa dan sentiasa bertawakkal kepada Allah. Semoga imtihan yang kita lalui pada kali ini diberi rezeki oleh Allah. Teringat saya pada sepotong hadith dalam kitab Riyadhus Solihin, semoga kita sama-sama dapat ambil manfaat darinya, Rasulullah saw bersabda:(Lau annakum tatawakkaluna a'la Allahi haqqa tawakkulih, larazaqakum kama yarzuqut toir taghdu khimason wa taruhu bithona) Jikalau kamu bertawakkal kepada Allah sebenar-benar tawakkal, nescayalah Dia akan memberi rezeki kepada kamu sepertimana Dia memberi rezeki kepada burung, yang keluar pagi perut kosong balik pulak perutnya penuh.
Jadi, jika kita mahukan rezeki pada tahun ini, bertawakkallah dengan bersungguh-sungguh. Berdoa'lah kepada Yang Hidup yang tidak pernah dulu kini dan selamanya mati. Agar diberi rezeki pada tahun ini. Tetapi, janganlah lupa pada usaha. Bagaimana kita 'tidak malu' bertawakkal kepada Allah dengan tanpa kita berusaha. Tawakkal yang sebenar-benar tawakkal adalah apa yang ditafsir oleh ulama'-ulama' (tafhwidh al-amr ila Allah ba'da akhaza bi asbabih) Menyerahi sesuatu perkara itu kepada Allah selepas mengambil asbabnya@selepas melakukan usaha. Ternyatalah di sini bagaimana nabi saw mengajar kita konsep tawakkal dan usaha yang sebenarnya. Terdapat sekian banyak hadith yang menyatakan bahawa nabi saw apabila berusaha, baginda melakukannya dengan sebaik mungkin yang baginda termampu dengan keringatnya..dan apabila bertawakkal pula kepada Allah seolah-olah usaha keringatnya tadi tidak memberi apa-apa hasil pun kepada baginda. Subhanallah, inilah contoh teladan kita ikutan sepanjang zaman sehingga hari Qiamat.
Akhir kata dari saya, doa'kanlah kecemerlangan sahabat-sahabat kita di bumi Anbiya' ini. Supaya kecemerlangan bukan hanya milik kita seorang. Teringat saya pada sepotong ayat dalam Al-Hikam, 'Seorang kawan yang jahat ialah yang dimintakan padanya supaya mendoa'kan kawannya itu'. Maksudnya, (menurut kefahaman sayalah) Kita sepatutnya sudah mendoa'kan kawan-kawan kita tanpa perlu mereka meminta pada kita supaya didoa'kan. Seorang kawan yang baik memang sentiasa mendoa'kan kawan-kawannya yang lain sebelum mereka itu minta didoa'kan.
Sekian saja, Wassalamua'laikum wbt.

No comments:

Post a Comment

 
footer